Larang Makhluk Allah Mengakui Tiada Tuhan Selain Allah ?
Views: 174 - Written by: muzzafar - January 13 2010 10:27:24
Sebelum membaca dengan lebih lanjut, elok kali ini aku huraikan tajuk blog aku terlebih dahulu. Perhatikan ia betul-betul kerana tajuk atau title itu mestilah dibaca dengan gaya orang bertanya kerana apabila menulis sesuatu tajuk tanda bacaan seperti noktah tidak digunakan manakala tanda soal jika wujud dikhuatiri tidak dihiraukan.
Oleh kerana sudah terbiasa dengan tajuk tidak bertanda bacaan maka tajuk yang bertanda soal (question mark) juga di baca dengan nada sekadar satu tajuk tanpa memikirkan bahawa tajuk itu merupakan satu soalan semata-mata dan bukan satu kenyataan.
Aku sengaja agak berpanjang lebar sedikit dalam menerangkan tajuk blog aku kali ini takut-takut ada yang membacanya tanpa nada bertanya maka dengan cepat terus buat spekulasi dengan bermacam-macam sangkaan dan prasangka.
Aku tidak mahu bercerita tentang pergolakan yang berlaku kerana semua sudah maklum akan tuntutan penggunaan nama Allah yang menyebabkan pihak-pihak tertentu tiba-tiba seperti juara agama Islam membantah keputusan membenarkan penggunaan nama "Allah".
Pihak yang mahu menggunakan nama Allah itu adalah makhluk Allah jua pada hakikatnya. Tiba-tiba ada sekumpulan makhluk Allah yang lain melarang makhluk Allah itu menggunakan nama Allah. Allah adalah Rabbil-Alamin, Tuhan sekelian Alam. Bukankah kita sepatutnya bersyukur kerana wujud makhluk-makhluk mengaku Tiada Tuhan Melainkan Allah.
Jika sekumpulan makhluk Allah melarang sekumpulan makhluk Allah yang lain mengakui Allah itu Tuhan maka apakah kedudukan makhluk Allah yang melarang menggunakan nama Allah itu di sisi Allah? Dari segi hukum, apakah hukumnya melarang sekumpulan makhluk lain mengakui tiada tuhan melainkan Allah?
Kepada siapakah Allah akan murka dan apakah pembalasan terhadap mereka yang melarang itu? Jangan sentimen, tapi fikirlah sedalam-dalam dan semasak-masaknya? Tidak berfikir mungkin menyebabkan kita lupa....
1. Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,
4. dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia".
Comments
Post Comment
Please Login to Post a Comment.
© 2007 - 2008 by Elactos

