Monggol dan Monggolia Tidak Bernasib Baik Di Nusantara
Views: 68 - Written by: muzzafar - June 24 2008 10:56:31
24.06.2008 @ 2:56am
Pada zaman dahulu ketika Kublai Khan menjadi Maharaja Monggol bagi kerajaan Dinasti Yuan beliau telah mendengar kemakmuran dan kekayaan kerajaan Singhasari. Merasakan dirinya sebagai superpower ketika itu, beliau menuntut Raja Kertanegara ketua kerajaan Singhasari membayar ufti kepadanya namun Raja tersebut enggan.
Dari awal 1280an sehinggalah penghujung dekad itu entah berapa kali Kublai Khan mengirim wakilnya menuntut Raja Kertanegara pemerintah Singhasari membayar ufti namun masih tidak berjaya. Pada 1289 Kublai Khan mengutus Meng Ki seorang wakilnya mengadap Raja Kertanegara bagi tujuan menuntut bayaran ufti. Mungkin berang dengan sikap Kublai Khan yang tidak tahu bahasa maka Raja Kertanegara telah memotong telinga Meng Ki. Ada pendapat yang mengatakan bukan Meng Ki seorang yang dicederakan mukanya malahan keseluruhan rombongan dipotong hidung mereka dan dihantar pulang kembali ke China.
Sudah tentu bangsa Monggol yang merupakan kuasa besar ketika itu merasa terhina dengan sikap Raja Kertanegara lalu pada 1292 Kublai Khan menghantar seribu buah kapal bagi menyerang Singhasari.
Ketika tentera Monggol tiba di Singgahsari, satu konflik politik sedang tercetus antara Raja Kertanegara dan para pemberontak yang cuba menggulingkan beliau dari tampuk pemerintahannya. Raden Wijaya selaku ketua pemberontak mengambil kesempatan berpakat dengan tentera Monggol bagi menyerang kedudukan tentera Raja Kertanegara. Akhirnya Singhasari berjaya dikuasai Raden Wijaya lalu terbentuklah kerajaan baru yang dinamakan kerajaan Majapahit.
Setelah memegang tampuk kekuasaan sebagai pemerintah Majapahit maka Raden Wijaya pun mengatur tipu-muslihat ketenteraan terhadap kaum Monggolia itu. Dengan kejutan serangan ala 'blitzkrieg' Raden Wijaya berjaya menumpaskan dan menghalau tentera Monggol keluar dari kepulauan Melayu dan Nusantara. Selepas itu kerajaan Monggol tidak berani lagi menuntut sebarang bayaran ufti daripada mana-mana pihak di Asia Tenggara.
Kita semua tahu sejarah memperlihatkan betapa ganas dan kejamnya orang-orang Monggol itu dan betapa gagahnya mereka menakluki sebahagian dunia. Mereka berjaya merentas Timur Tengah dan membaham Empayar Parsi Khwarezmid, kerajaan Islam Abasiyah di Bahgdad. Begitu juga dengan bangsa Turkey yang terkenal dengan kegagahan dalam peperangan itu pun dapat ditewaskannya. Kerajaan Mesir Mamluk yang sangat saya hormati dan saya gelar 'Soldier of Fortune dunia Islam' itu pun lingkup dikerjakannya.
Bangsa Monggol bukan sahaja dapat menguasai beberapa kerajaan Timur Tengah selama beberapa ratus tahun malah sebahagian Eropah turut tunduk dan melutut kepada mereka. Bukan calang-calang bangsa Eropah yang ditewaskan oleh orang-orang Monggol. Antaranya termasuklah bangsa Hungary, Russia dan Poland. Kesemuanya dengan mudah 'dikencing' oleh bangsa Monggol.
Tetapi dengan rumpun Melayu di Asia Tenggara yang terkenal dengan bangsa "lembik" dan dengan sikap 'alahai..alahai..alahai' dan 'terkedik-kedik'nya itu bangsa Monggol dimalukan apabila dipotong hidung dan telinga ketika cuba menuntuk ufti dari kerajaan Singhasari. Tidak cukup dengan itu, mereka kemudian ditewaskan pula dengan tipu muslihat oleh kerajaan Majapahit.
Lebih hebat lagi rupa-rupanya kegiatan Monggol tidak berhenti pada zaman itu sahaja. Setelah berabad-abad lamanya iaitu pada tahun 2006 seorang wanita Monggol bernama Altantuya Sharibu telah dibunuh dan mayatnya hancur bersepai akibat ledakan bahan letupan C4. Bagaimanapun, mayat Altantuya bukan bersepai di Singhasari atau Majapahit tetapi di sebuah negara moden bernama Malaysia.
- Muzzafar Zabidin
Comments
Post Comment
Please Login to Post a Comment.
© 2007 - 2008 by Elactos

